Ad Code

Balik beraya di Kampung jangan di jadikan dilema


Puasa bukan satu budaya, tetapi satu ibadah, dan puasa tanda ketaatan kita sebagai hamba Allah kepada-Nya. Puasa bukan sahaja mengawal diri kita daripada nafsu makan dan minum, tetapi juga mengawal diri kita daripada nafsu negatif (marah dan sebagainya).

Salah satu barakah Ramadan, adalah syaitan diikat. Walaupun kita terlepas daripada godaan syaitan, tetapi sebenarnya kita berhadapan dengan godaan yang lebih besar lagi iaitu godaan hawa nafsu. Puasa membuktikan kekuatan diri kita mengawal nafsu. Iaitu sama ada kita memilih membuat kejahatan atau kebaikan, semuanya bergantung kepada sejauh mana kita melawan nafsu. Nafsu adalah hati, jiwa atau “dunia dalaman” kita. “Dunia dalaman” kita menentukan “dunia luaran” sama ada baik atau buruk.


Apa yang kita fikir, rasa, dan buat itulah yang kita akan dapat. Formulanya (reset minda), “Fikir baik – rasa baik – buat baik = dapat baik”. Iaitu dapat baik dari segi kesihatan, ketenangan, kebahagiaan dan kewangan. Sama juga dengan formula, “ada baik – beri baik = dapat baik”. Maksudnya kita dapat perkara yang baik, sebab kita sudah beri kebaikan kepada orang, dan kita boleh berikan kebaikan kepada orang, sebab dalam diri kita ada banyak perkara yang baik. Demikian jugalah jika berlaku sebaliknya.

Jadi, kalau kesihatan kita tidak baik, fikiran dan emosi kita tidak tenang, rezeki kita payah, anak nakal dan tidak dengar kata, hubungan dengan suami/isteri tidak berkasih sayang, pembantu rumah pun tidak suka akan kita, serta semua orang tidak senang dengan kita sama ada di rumah atau di tempat kerja, cerminlah tindakan yang telah kita lakukan terhadap orang sekeliling kita, hingga kita mendapat respons seburuk itu. Jom audit diri dan emosi kita.

Kita tahu semua tindakan berdasarkan emosi dan perasaan kita. Emosi dan perasaan tidak akan bersih kalau hati tidak bersih. Sempena Ramadan ini dan hari raya yang bakal menjelang, bersihkan hati kita. Jangan jadikan perkara remeh sebagai punca pergaduhan dalam keluarga, khususnya kepada suami isteri. Lazimnya isu yang menjadi punca pergaduhan dan hilang kebahagiaan menyambut hari raya adalah kerana dilema isu balik kampung. Iaitu kampung mana pilihan atau menjadi giliran untuk beraya kali ini, kerana masing-masing berat hati hendak beraya di rumah mentua.

Punca

Usah timbulkan dilema dalam hal hendak balik kampung mana untuk beraya kali ini, tetapi tukar jadikan sesuatu yang hati dan fikiran kita anggap negatif kepada positif. Cari dan cipta kegembiraan untuk beraya di rumah mentua. Sepatutnya selepas Ramadan kita menjadi orang yang lebih bertakwa (buat apa yang Allah suruh dan tinggalkan yang dilarang). Untuk melihat pakej “madrasah” Ramadan kita bagus, berkesan atau tidak, lihat sifat kita selepas Ramadan. Adakah Syawal kita mengekalkan amalan baik dan sikap tawaduk?

Lihat emosi kita, kalau perangai masih sama macam sebelum Ramadan: suka marah, suka bersaing, apabila bercakap mesti kita sahaja yang betul dan hendak menang, apa-apa hendak banyak dan lebih, terlalu pentingkan diri, tidak fikir perasaan orang lain, sangat fikir apa yang orang kata, selalu memikirkan nilai diri bergantung pada kedudukan dan pangkat dan sangat kedekut alangkah ruginya kita.

Cara kita melahirkan rasa gembira selepas berjaya melaksanakan ibadah berpuasa adalah dengan pelbagai cara. Salah satu daripadanya kita balik ke kampung, tidak kiralah sama ada kita balik ke kampung halaman atau kita balik ke kampung suami/isteri. Memanglah apabila kita beraya di rumah mentua, persekitarannya lain, kita berasa tidak selesa kerana kita tidak biasa seperti di rumah kita sendiri atau seperti di rumah ibu bapa kita tempat kita dibesarkan.

Walau macam mana tidak selesa pun, sebab niat kita hendak gembira dan menggembirakan orang yang kita sayang, maka kita akan terima sahaja apa yang ada di hadapan mata kita. Buat perbincangan dan perjanjian elok-elok dan bagi memuaskan hati semua pihak patuh pada giliran yang dipersetujui bersama. Manusia tidak tenang sebab hati tidak bersih. Semua manusia bermasalah kerana berpunca daripada dosa kita sendiri, yang tidak bersih hati.

Maka, cara untuk bersihkan hati, bertaubatlah kepada Allah. Mohon maaf dan memaafkan antara suami/isteri. Cermin diri, cari kesilapan diri bukan serlah kesalahan orang (suami/isteri), yang menjadi punca setiap kali menjelang raya maka bermulalah perbalahan: masing-masing tunjuk kuasa siapa yang lebih dominan.

Isteri tanya diri sendiri, “adakah kita melayani suami dengan baik selama ini?” Ingatlah, seorang suami hendak dirinya diiktiraf sebagai pemimpin, dihormati, diperlukan, diberi tanggungjawab dan dihargai oleh isteri. Wanita pula perlukan belaian dan kasih sayang. Sebab itu isteri tidak boleh terlalu dominan dalam rumah tangga hingga hilang peranan suami, dan suami pula tidak boleh terlalu kasar dengan isteri hingga hilang rasa dihargai.

Sebelum balik kampung pertama, berbincang dengan anak-anak, supaya menghargai walaupun rumah nenek/datuk tidak selesa, tetapi rumah itulah yang tempat ayah/ibu dibesarkan hingga menjadi ayah/ibu yang sekarang. Kedua, ajar anak-anak sifat toleransi dan berbudi bahasa. Macam mana kita mengajar anak kita melayan orang sekelilingnya, begitulah yang akan terjadi apabila mereka dewasa nanti dan kita telah tua.

Kalau kita berasa berat untuk pulang ke kampung menemui ayah dan ibu, nanti akan tibalah giliran kita pula, anak-anak tidak ada masa, sibuk dengan kerja hingga tidak sempat pulang ke kampung untuk beraya. Atau kalau hari ini kita berasa berat hati untuk pulang ke rumah mentua, tunggulah akan tiba masanya nanti kita pula yang ternanti-nanti anak pulang beraya ke kampung, tetapi yang ditunggu tidak muncul-muncul, sebab menantu kita pula yang berat hati untuk pulang ke rumah mentua.

Sepatutnya sejak awal lagi sudah ada persefahaman dan toleransi. Suami/isteri mesti berterima kasih kepada ibu mentua. Pada 25 tahun yang lalu, sepasang suami isteri telah dikurniakan seorang bayi (lelaki/perempuan). Ibunya yang mengandungkan dan melahirkan anak itu, dan anak itu lambang kebahagiaan sepasang suami isteri. Mereka membesarkan anak itu hingga berjaya dalam pelajaran dan mendapat pekerjaan. Setelah anak mereka berkahwin dan menjadi suami/isteri, wajarkah mereka tidak berhak lagi untuk mengecap bahagia bersama anak mereka, yang mereka tatang bagai minyak yang penuh?

Pulanglah ke kampung temui emak ayah atau emak mentua/bapa mentua kita dengan kasih sayang. Apabila kita pandang mereka dengan kasih sayang dan orang sekeliling kita juga menyambut kita dengan kasih sayang, hidup kita berkat. Berikanlah kasih sayang tanpa syarat kepada orang yang berhak mendapat kasih sayang dan perhatian kita.Insya-Allah kita juga akan disayangi dan disenangi mereka. Pada bulan terbaik ini seboleh mungkin, sesaat pun jangan kita lepaskan dengan perkara yang tidak bermakna dan tidak bermanfaat.

Jalinkan silaturahim yang utuh setiap kali kita jumpa orang, buatkan dia berasa seronok kepada diri mereka lebih daripada sebelum mereka jumpa dengan kita. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.

Sumber: Utusan Melayu Online

Post a Comment

0 Comments