Ad Code

Homestay sebagai satu cara pelaburan terkini



PERNAHKAH anda mende­ngar pekerja di sektor awam atau swasta memiliki tiga atau lima buah hartanah? Bagaimana mereka melakukannya? Satu cara ialah dengan menyewakan hartanah mereka secara bulanan. Tetapi adakah ini cara terbaik?

Ini kerana kalau kita nilai dengan harga hartanah sekarang yang begitu tinggi, de­ngan hanya menyewakan rumah secara bulanan tidak dapat mewujudkan aliran tunai positif kepada pelabur. Mi­salnya, sebuah apartmen atau kondominium di Lembah K­lang kini mencecah RM500,000 sebuah jika dikirakan bayaran ansuran bulanan kepada bank ia menjangkau RM2,500 sebulan. Bolehkah kita menyewakan apartmen kita pada harga itu? Dengan lambakan pasaran, ia nampak mustahil bukan?

Tetapi ramai yang tidak tahu ini boleh dicapai dengan me­ngubah konsep sewa bulanan kepada sewa harian. Ia dikenali sebagai inap desa di Malaysia, sewa rumah percutian katil dan sarapan atau atau pun holiday letting di luar negara. Jika kena caranya, inap desa dapat memberi lebihan aliran tunai dari RM500 ke RM2,000 sebulan bergantung kepada lokasi dan cara anda memasarkannya sama ada secara atas talian atau tidak. Menurut satu kajian, industri inap desa atau pun sewa rumah percutian ini berjaya menjana pendapatan sekitar AS$85 bilion setahun di seluruh dunia. Ini menunjukkan permintaan untuk penginapan jenis ini meningkat. Di Malaysia, dianggarkan terdapat antara 3,000 hingga 4,000 rumah inap desa.

BAGAIMANA MEMULAKAN INAP DESA

Lokasi

Perkara pertama anda kena lihat lokasi hartanah dan kemudahan sekeliling. Ia dapat menentukan sasaran pasaran anda. Lokasi yang terbaik adalah hartanah yang berada berdekatan dengan pusat perniagaan/industri; kawasan pelancongan/ institusi pengajian tinggi; dan kemudahan awam seperti LRT, MRT, kedai runcit, kedai makan dan lain–lain.

Jika hartanah anda mempunyai ciri–ciri tersebut, kadar penginapan inap desa anda boleh mencecah secara purata 90 peratus dalam sebulan. Kenapa begitu? Ini kerana inap desa anda bukan hanya menjadi tumpuan pelancong yang hanya menggunakan inap desa anda ketika musim cuti dan hujung minggu tetapi juga ahli perniagaan yang akan menggunakannya pada waktu bekerja.

Ciri–ciri seperti kemudahan awam adalah satu daripada kriteria penting kepada pengunjung membuat pilihan kawasan penginapan. Melalui ciri–ciri ini anda juga dapat menentu­kan jenis pengunjung yang akan menginap di inap desa anda sama ada pengunjung tempatan atau luar negara. Kelengkapan dan Dekorasi

Melalui data ini juga anda dapat menilai jenis kelengkapan inap desa dan konsep dekorasi yang diperlukan. Ini penting untuk menarik pengunjung memilih inap desa anda berbanding yang lain-lain. Pilihlah konsep yang selamat di mana ia menjadi pilihan pengunjung antarabangsa kerana selalunya pengunjung tempatan kurang cerewet dan dapat menerima konsep tersebut.

Harga Inap Desa

Bagi menentukan harga inap desa anda supaya tidak terlalu mahal dan tidak terlalu murah, buatlah kajian harga hotel di sekitar. Harga anda mestilah lebih murah 50 peratus daripada hotel dengan kelengkapan yang hampir sama. Sebagai contoh harga sebuah bilik hotel di sekitar KLCC adalah lebih RM400 untuk semalam. Anda boleh meletakkan harga untuk sebuah studio apartmen sekitar RM200– RM250 semalam.

Operasi Inap Desa

Operasi inap desa melibatkan penyerahan kunci dan pembersihan selepas digunakan. Ini amat penting untuk memastikan pelanggan ber­puas hati dengan perkhidmatan anda. Ini sebenarnya akan mewujudkan pelanggan tetap anda dan pemasaran percuma untuk anda melalui word of mouth. Pastikan anda meminta ulasan daripada setiap pelanggan anda kerana ini berguna untuk strategi pemasaran dalam talian anda. Bagi pengunjung yang belum pernah menginap, mereka memilih inap desa me­lalui ulasan-ulasan yang diberikan oleh pengunjung terdahulu secara dalam talian.

Strategi Pemasaran

Sebagai sebuah inap desa, strategi pemasaran adalah amat penting untuk pelanggan mencari inap desa anda kerana anda tidak mempunyai bangunan dan papan tanda besar seperti sebuah hotel. Paling mudah dan murah adalah dengan memasarkan secara dalam talian dengan memasukkan dalam senarai inap desa portal tempahan se­perti Agoda, booking.com, Airbnb dan terbaru ialah MyCribBooking.com (portal tempatan). Pastikan anda tahu caj servis yang dikenakan untuk setiap tempahan. Jika tidak anda terpaksa melakukannya secara manual yang mungkin agak memenatkan iaitu dengan menyenaraikan inap desa anda di Google, Facebook, Instagram dan laman web ataupun blog sendiri. Pastikan juga gambar yang anda muat naik di portal–portal ini adalah cantik dan menarik kerana ia memberikan anda kelebihan berbanding inap desa lain.

Akmal Nizam Abdul Halim adalah Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif MyCribBooking.com

Sumber: http://www.utusan.com.my

Post a Comment

0 Comments